KUALA LUMPUR: Pengasas platform e-dagang, Fashion Valet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Kompleks Mahkamah di sini, bagi menghadapi pertuduhan membabitkan kes pecah amanah.
Kedua-dua pasangan itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 8:34 pagi tadi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Alphard berwarna hitam.
Pasangan itu akan didakwa hari ini dengan satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) hanya menerima hasil berjumlah RM3.1 juta daripada penjualan saham dalam Fashion Valet Sdn. Bhd. (Fashion Valet).
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam Fashion Valet.
1 November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam platform fesyen e-dagang itu.
Kelmarin, pasangan terbabit dilaporkan ditahan di pejabat SPRM sebelum dibebaskan dengan jaminan untuk hadir ke mahkamah hari ini. – UTUSAN