Vivy Yusof, suami hadapi satu pertuduhan pecah amanah esok

Vivy Yusof, suami hadapi satu pertuduhan pecah amanah esok

VIVY YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar akan didakwa satu pertuduhan esok di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur.

SPRM berkata, hasil siasatan yang dijalankan, pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan selepas mendapat izin untuk membuat pertuduhan di mahkamah.

“Mereka masing-masing akan dihadapkan ke mahkamah dengan satu pertuduhan membabitkan kes pecah amanah  Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang itu,” katanya dalam kenyataan di Tiktok SPRM hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporka,n Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pasangan itu akan didakwa dan memaklumkan pihaknya juga menahan pasangan berkenaan di pejabat SPRM, tengah hari semalam.

Bagaimanapun katanya, pasangan terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM untuk hadir ke mahkamah esok.

Sebelum ini media melaporkan, Azam mengesahkan pihaknya menyiasat pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam FashionValet.

Media turut melaporkan SPRM menyerbu FashionValet dan menurut sumber, selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB.

Vivy dan Fadzaruddin diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

1 November lalu, SPRM mengesahkan telah memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh Khazanah dan PNB dalam platform fesyen e-dagang itu. 

SPRM turut dilaporkan merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.

29 Oktober lalu, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN