KUALA LUMPUR: Pengasas platform e-dagang, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Khamis ini.
Ia berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya telah menjalankan tangkapan terhadap pasangan berkenaan hari ini.
“Bagaimanapun, jaminan diberikan untuk mereka hadir ke mahkamah pada Khamis ini
“Siang tadi saya rasa dalam tengah hari tadi lebih kurang di pejabat SPRM dan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.
Pada 28 November lalu, media melaporkan kertas siasatan membabitkan kerugian pelaburan itu sudah dilengkapkan SPRM.
Azam dilaporkan berkata, kertas siasatan terbabit sudah diserahkan kepada bahagian perundangan SPRM untuk kajian dan pertimbangan.
Terdahulu, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.
Transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu.
SPRM turut dilaporkan merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
1 November lalu, SPRM mengesahkan telah memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dalam platform fesyen e-dagang itu.
29 Oktober lalu, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.- UTUSAN