PETALING JAYA : Pengasas platform e-dagang, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar yang akan didakwa khamis dijangka berdepan pertuduhan berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah.
Utusan Malaysia difahamkan, pendakwaan akan dilakukan terhadap pasangan berkenaan mengikut Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pertuduhan berkenaan, pasangan ini dipercayai telah melakukan pecah amanah membabitkan nilai jutaan ringgit dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan Vivy dan suami akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pukul 9 pagi.
SPRM juga telah menjalankan tangkapan terhadap pasangan berkenaan hari ini, namun jaminan diberikan untuk mereka hadir ke mahkamah pada Khamis ini.
Pada 28 November lalu, media melaporkan kertas siasatan membabitkan kerugian pelaburan itu sudah dilengkapkan SPRM.
Azam dilaporkan berkata, kertas siasatan terbabit sudah diserahkan kepada bahagian perundangan SPRM untuk kajian dan pertimbangan.
Terdahulu, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.
Transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu.
SPRM turut dilaporkan merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan. – UTUSAN