KUALA LUMPUR: Pengasas platform e-dagang, Fashion Valet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, pada enam tahun lalu.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat melakukan pemindahan dana pelaburan Khazanah dan PNB sebanyak RM8 juta dari akaun bank FashionValet kepada svarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah platform e-dagang berkenaan.
Perbuatan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Bukit Damansara, Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 hingga RM200,000 dengan seorang penjamin warganegara.
Bagaimanapun, peguam bela, Ashok Athimulan yang mewakili kedua-kedua tertuduh memohon pengurangan jaminan atas alasan anak guamnya mengalami kekangan kewangan selepas harta tertuduh dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Mohon jaminan sebanyak RM100,000 kerana tertuduh sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM100,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin warganegara serta passport tertuduh perlu disimpan di mahkamah sehingga kes selesai.
Kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM, Kuala Lumpur pada setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 22 Januari hadapan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN