UUM mahu tawan Everest Base Camp rai sambutan ke-40 tahun

UUM mahu tawan Everest Base Camp rai sambutan ke-40 tahun

TUNKU Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Salehuddin (kiri) beramah mesra bersama peserta ekspedisi 4 Dekad UUM di sini, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) mahu menawan Everest Base Camp sempena ulang tahun ke-40 universiti itu, melalui pelancaran Ekspedisi 4 Dekan UUM dari 14 hingga 28 Disember ini.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Everest sebagai gunung tertinggi merupakan perlambangan kepada UUM untuk menjadi universiti terbaik di Malaysia ketika mencapai usia berkenaan.

Katanya, program itu membantu menjayakan kempen mempromosikan UUM, negeri dan negara untuk menyemarakkan industri pelancongan dari perspektif industri kreatif negara sempena Tahun Melawat UUM 2024, Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Ekspedisi ini bertujuan mengumpulkan sebanyak mungkin data dan rakaman bagi tujuan penghasilan karya dan kandungan kreatif.

“Antaranya, penghasilan Virtual Reality (VR), penghasilan dokumentari pendek sebagai panduan digital bagi pendaki masa hadapan serta dokumentasi buku, travel log dan kandungan kreatif berhubung sukan mendaki,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Ekpedisi 4 Dekad UUM yang dirasmikan oleh Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin di sini, hari ini.

Tambah Foad, universiti telah membuat beberapa peringkat saringan dan hanya empat pelajar yang terpililih agar mampu mencapai visi dan misi yang telah berikan.

“Pemilihan empat pelajar ini telah disaring dan mempunyai keupayaan dari segi mental serta fizikal terbaik untuk sertai ekspedisi,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar dan juga peserta ekspedisi, Muhammad Aidil Muhammad berkata, mereka telah membuat pelbagai persediaan termasuk secara individu dalam meningkatkan stamina.

“Kami telah menerima latihan dari Ogos hingga sekarang dan walaupun berada dalam cuti pertengahan tahun, kami jalankan persediaan secara individu. Antara persediaan yang kami jalankan adalah mendaki Bukit Telipung dan Perangin,” katanya.

Ekspedisi itu bakal diketuai Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) UUM, Prof. Madya Dr. Adzrool Idzwan Ismail, turut disertai tiga pelajar lain iaitu Murfiqah Nurina Mohd. Razali, Muhammad Syamim Mohd Hamdan dan Ihsan Sabri Kamaruddin serta pegawai pengiring lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya