KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan 2025, di mana usianya menjangkau 100 tahun akan menjadi satu perjalanan yang panjang dan penuh dengan dugaan.
Dr. Mahathir merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh rakyat Malaysia menjelang satu hari sebelum 2024 melabuhkan tirainya.
Beliau turut menitipkan seluruh rakyat Malaysia untuk memulakan tahun baharu dengan azam dan semangat untuk memperbaiki diri serta berusaha mencapai yang lebih baik dari tahun sebelumnya.
Ia menjadi blueprint atau pedoman untuk adakan matlamat tahun tersebut dan tumpu usaha untuk mencapai matlamat yang digaris. Yang penting gigih berusaha, bekal diri kita dengan ilmu pengetahuan dan tingkatkan kecekapan. Jangan mengalah.
“Berazamlah untuk jadi rakyat Malaysia yang lebih baik, yang bertanggungjawab, sayang akan negara kita ini. Jadilah rakyat Malaysia yang berpegang kepada nilai-nilai murni, yang berprinsip, hormat antara satu sama lain, patuh pada undang-undang dan perlembagaan negara.
“Pada pertengahan tahun 2025, akan genaplah usia saya 100 tahun. Insya-Allah, jika saya masih bernafas, ia adalah satu perjalanan yang panjang dan penuh dengan dugaan. Alhamdulillah, setakat ini saya dikurniakan kesihatan yang agak baik, masih boleh berdiri, berjalan dan berfikir dengan waras,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Dr. Mahathir berkata, di usianya, beliau bernasib baik dapat bersama mengharungi detik-detik penting di dalam sejarah negara.
“Kita dijajah, diserang dan ditakluk, diserah kepada negara asing, dijajah semula, berjuang untuk mencapai kemerdekaan, merdeka, berperang dan berusaha untuk membangun.
“Alhamdulillah juga, bermula dari zaman remaja sehingga ke hari ini saya berpeluang berjuang dan bekerja untuk kesejahteraan negara.
“Sepanjang tempoh itu yang saya lihat, yang menjayakan negara ialah jati diri rakyat, semangat juang rakyat, yang punyai harga diri, yang tidak sanggup gadai tanah dan maruah bangsa untuk apa sekali pun,” katanya. – UTUSAN