Usahawan Perak jadi pembekal sambal Saudi Airlines - Utusan Malaysia

Usahawan Perak jadi pembekal sambal Saudi Airlines

SALBIAH Mohamed menjawab soalan dalam sesi soal jawab semasa sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak diminta mengenal pasti usahawan yang berpotensi di kawasan masing-masing untuk diketengahkan sebagai pengeksport oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kesemua usahawan tersebut kemudian boleh dibimbing dan dipromosikan oleh pelbagai agensi kerajaan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau memberi contoh usaha itu berhasil apabila usahawan dari Perak iaitu Syarikat Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd. mendapat kontrak pembekalan sambal bersama syarikat Saudi Airlines.

“Syarikat ini merupakan milik usahawan Perak yang menjual pelbagai jenis sambal dan mereka bermula semasa pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

“Mereka hanya memulakan perniagaan menjual sambal dari bangsal kuda dengan hanya bermodalkan beberapa ratus ringgit sahaja dan tanpa ada mempunyai premis yang sesuai.

“Dalam tempoh tiga tahun sahaja, mereka kini telah berjaya menjadi pengeksport produk sambal ke Singapura, Turkiye dan Australia malah produk mereka kini sedang terbang tinggi di ruang udara antarabangsa apabila baru-baru ini mereka mendapat kontrak pembekalan sambal bersama syarikat Saudi Airlines,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Azizi Mohamed Ridzuwan (Pas-Lubok Merbau) yang bertanyakan tentang industri kecil dan sederhana Perak di peringkat antarabangsa dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Salbiah berkata, kejayaan itu dicapai hasil bantuan bersepadu oleh Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bersama agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Tekun, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), SME Corp dan SME Bank.

Katanya, kemudahan yang disediakan termasuklah usahawan boleh menuntut kembali perbelanjaan mereka apabila menyertai program pameran antarabangsa di luar negara dan dalam negara mengikut kelayakan serta syarat tertentu.

“Ini dibuat bagi membolehkan seramai mungkin usahawan mikro kecil dan sederhana Perak menyertai pameran perdagangan dan pameran eksport di luar negara yang berpotensi.

“Saya juga mengalu-alukan kerjasama dan bantuan dari Yang Berhormat (ADUN) sekalian untuk turut sama membantu sekiranya ada usahawan lama atau baru yang berpotensi di kawasan masing-masing untuk dibantu dan dibimbing menjadi pengeksport,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya