KUALA TERENGGANU: Beberapa usahawan membelanjakan hampir RM10,000 untuk menyumbang 600 ekor ayam secara percuma di Pasar Chabang Tiga di sini.
Peniaga ayam, Zulfakrul Amin Abd Manan, 37, berkata, pemberian ikhlas usahawan itu adalah untuk berkongsi rezeki dan meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan bantuan di sekitar Kuala Terengganu.
“Hebahan mengenai ayam percuma ini telah dilakukan beberapa hari sebelum itu dan sambutan yang diterima sangat luar biasa. Pada mulanya, hebahan yang dimaklumkan hanyalah untuk mengagihkan sebanyak 500 ekor ayam.
“Namun, orang yang datang terlalu ramai menyebabkan 500 ayam itu habis dalam tempoh 20 minit sahaja,” katanya.
Enggan mengecewakan orang ramai yang belum mendapat ayam percuma itu, usahawan tersebut kemudian menambah 100 ekor ayam untuk tidak menghampakan mereka.
Zulfakrul Amin berkata, pihaknya terharu dengan kedatangan pengunjung yang dianggarkan lebih 2,000 orang dan berazam mahu melakukan lagi agihan percuma itu pada masa akan datang.
Beberapa penerima pula bersyukur dengan program tersebut dan berharap lebih ramai usahawan tampil membantu golongan berpendapatan rendah yang sangat terhimpit dengan situasi ekonomi ketika ini. – UTUSAN