KUALA LUMPUR: Jarang dilihat bersama, status rumah tangga pasangan pelakon, Uqasha Senrose dan Kamal Adli kembali mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warganet.
Terbaharu, Uqasha tampil berkongsi momen indah ketika meluangkan masa bersama keluarganya di teratak mewah milik seorang penerbit terkenal.
Dalam masa sama, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu menyifatkan percutian tersebut sebagai penutup untuk segala kisah suka duka sepanjang tahun 2024 ini.
“Allahuakbar, terima kasih ya Allah untuk segala yang aku lalui sepanjang 2024 ini, sangat mematangkanku. Syukur sangat dapat kumpulkan semua keluarga yang aku sayang dan cinta tiada ganti di villa yang sangatlah cantik ini.
“Penutup untuk 2024, kebahagiaan saya adalah keluarga saya dan semestinya puteri kesayangan saya, Uqaira. Tambah pula, Uqaira ada sepupu yang sama baya, Raiya. Sangat bersyukur, ya Allah,” katanya.
Bagaimanapun, bayang mahupun susuk tubuh suaminya, Kamal langsung tidak kelihatan menerusi video yang dimuat naik di Instagram itu.
Menjengah ke ruangan komen, beberapa netizen turut meluahkan rasa musykil dengan hubungan mereka yang sudah jarang dilihat mahupun berkongsi foto bersama di media sosial.
“Perasan juga macam sudah lama dia tidak buat perkongsian dengan Kamal kan?,” komen seorang netizen.
“Maaf bertanya, kenapa sudah lama tidak mention Kamal? Gambar pun sudah lama tidak ada. Semoga baik-baik saja dengan Kamal,” kata seorang lagi pengikutnya.
“Terlalu cantik, tapi macam perasan mana Kamal Adli?,” komen seorang lagi netizen.
Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa rumah tangga pasangan itu sedang bergolak namun perkara tersebut telah dinafikan oleh Kamal dan Uqasha.
Untuk rekod, Uqasha dan Kamal telah mendirikan rumah tangga pada 5 November lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Hawra Uqaira yang kini berusia lapan bulan.-UTUSAN