‘Untung tak dapat, malah rugi ditipu’

‘Untung tak dapat, malah rugi ditipu’

RAUB SELAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang kontraktor untuk meraih pendapatan sampingan bukan sahaja tidak kesampaian, malah turut mengalami kerugian sebanyak RM107,000 akibat terpedaya dengan tawaran pekerjaan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 50 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat jualan dalam talian, 11 November lalu.

Lelaki itu memaklumkan sedang mencari pekerja sambilan untuk perniagaan jualan barang secara talian yang tidak memerlukan modal selain menawarkan keuntungan besar dan mangsa yang tertarik dengan peluang itu telah memuat turun aplikasi yang diberikan.

“Mangsa yang telah mendaftar dalam akaun di aplikasi itu menerima dua tempahan kerja, iaitu pembekalan pelitup muka, masing-masing bernilai AS$28,000 (RM125,132) dan bernilai AS$504 (RM2,252) pada 17 Disember lalu.

“Suspek meminta mangsa untuk membuat bayaran terlebih dahulu sebelum kontrak tempahan tersebut diluluskan dengan dijanjikan keuntungan sebanyak AS$3,054 (RM13,648.33) serta tempahan lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

Mangsa kemudian membuat empat transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek dan selepas itu turut diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak AS$40,000 (RM178,760) untuk mengeluarkan wang keuntungan.

“Setelah menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru Selatan. Hasil semakan menerusi portal Semak Mule, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil mendapati dua daripada empat akaun bank tersebut mempunyai rekod laporan polis berkaitan kes penipuan dalam talian,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya