PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan dalam matlamat pembangunan mampan (SDG) apabila mencapai unjuran 43 peratus pada sasaran menjelang 2030.
Unjuran itu mengatasi purata pencapaian global yang baru saja mencapai 17 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani kekal berpegang teguh dengan sasaran indikator SDG negara.
“Ia seiring dengan sasaran-sasaran Ekonomi Madani sementelahan pendekatan keseluruhan negara amat penting dalam mempergiatkan dan menambah baik inisiatif-inisiatif yang telah dirangka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2024 dengan memberi penelitian dan mempersetujui beberapa perkara termasuk kertas cadangan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan.
Beliau berkata, pelan itu dirangka dalam usaha kerajaan membawa entiti perniagaan Malaysia secara berfasa ke arah pematuhan dan pelaporan ESG ke peringkat lebih tinggi sekali gus mewujudkan kelebihan kompetitif dan pembangunan mampan negara.
“Saya singgung keperluan memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak dibebankan dengan kos yang tinggi dalam usaha mematuhi garis panduan ESG.
“Justeru disarankan bantuan latihan penerapan ESG turut dilaksanakan oleh syarikat-syarikat tersenarai awam, multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ini penting bagi menyokong PKS dalam rantaian nilai masing-masing, sayugia kementerian-kementerian yang berkaitan disaran untuk memperkukuh program latihan yang bersesuaian kepada entiti perniagaan yang disasarkan,” katanya. – UTUSAN