PETALING JAYA: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan perlu memperbanyakkan kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI) mengikut keperluan penggunaan teknologi itu pada masa ini.
Ketika ini, hanya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan kursus AI melalui penubuhan Fakulti AI (FAI) bermula 29 September lalu.
Pakar Pendidikan, Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, kemahiran itu amat diperlukan golongan belia dalam menghadapi era penggunaan teknologi AI yang dikatakan akan membuka banyak peluang pekerjaan baharu buat mereka.
Katanya, memang tidak dapat dinafikan bahawa peluang pekerjaan semakin menguncup dan kebanyakan universiti pula masih belum menyediakan bidang pengajian berkaitan AI.
“Graduan perlu meningkatkan dan menyesuaikan kemahiran dengan keadaan semasa berbanding mencari pekerjaan berasaskan bidang pengajian semata-mata.
“Namun, univeriti atau pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu menyediakan kursus yang relevan dengan keperluan industri supaya belia tidak ketinggalan dalam memperoleh peluang pekerjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan AI bakal membuka lebih 97 juta peluang pekerjaan baharu di seluruh dunia menjelang tahun hadapan manakala 85 juta lagi bidang pekerjaan akan berkurangan.
Berdasarkan laporan The Future of Jobs Report 2020 oleh World Economic Forum, antara pekerjaan baharu yang bakal diwujudkan adalah penganalisis dan saintis data, pakar kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, pakar data raya, pakar pemasaran digital dan strategi serta pakar automasi proses.
Mengulas lanjut, Salleh berkata, peningkatan AI sudah pasti akan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga manusia.
“Oleh itu, lebih baik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang enggan menyambung pengajian menfokuskan kepada bidang kemahiran kerana kerjaya ini masih banyak potensinya,” katanya.
Sementara itu, Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Hasnah Toran berkata, semua pihak wajar untuk mengambil tindakan dalam memastikan golongan belia tidak ketinggalan dalam arus teknologi AI.
“Guru dan kaunselor di sekolah perlu memainkan peranan dalam menekankan kepentingan melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi bagi memastikan pelajar memahami nilai tambah yang boleh diperoleh daripada pendidikan.
“Selain itu, peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat perlu diwujudkan terutama dalam bentuk modular yang fleksibel untuk memenuhi keperluan individu terutamanya berkaitan AI,” katanya. – UTUSAN