ARAU: Seramai 200 sukarelawan dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Utara Malaysia Malaysia (UUM) dihantar bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah penduduk terjejas dengan banjir di Taman Tabung Haji, Jitra, Kedah, semalam.
Selain rumah, skuad sentuhan kasih pasca banjir Unimap – UUM itu juga membantu membersihkan dewan masyarakat, surau dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (tabika).
Banjir yang melanda baru-baru ini menyaksikan hampir 90 peratus rumah di kawasan berkenaan ditenggelami air dengan anggaran kerugian mencecah jutaan ringgit.
Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, Unimap turut menghantar sukarelawan penyelidik terdiri daripada pelajar dan pensyarah yang berkepakaran dalam bidang elektrik dan elektronik.
“Mereka bergabung bagi melakukan pendawaian elektrik dan memperbaiki barangan seperti pendingin hawa di pusat komuniti yang tenggelam dan memusnahkan hampir keseluruhan barangan di dalamnya,” katanya.
Katanya, setiap fakulti memainkan peranan penting dengan menyumbangkan kepakaran dalam pelbagai bidang, sekali gus memastikan pelaksanaan program ini berjalan lancar dan memberi impak positif kepada masyarakat.
“Malah melalui kutipan yang dijalankan di Unimap, kami turut menyumbang katil kepada pesakit terlantar dan barangan asas dapur seperti beras, gula dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN