KUALA TERENGGANU: UMNO Negeri Terengganu menafikan membuat kenyataan yang membantah pelaksanaan hukuman sebat secara terbuka yang akan dilaksanakan pada Jumaat ini.
Ketua Pemudanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, fitnah tersebut ditularkan oleh beberapa akaun Facebook palsu yang kononnya diuruskan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu.
“Saya ingin menegaskan bahawa akaun-akaun tersebut bukan daripada kami. UMNO Terengganu sangat menghormati institusi kehakiman lebih-lebih ia melibatkan keputusan Mahkamah Syariah.
“Kronologi kes yang melibatkan hukuman sebatan ini juga telah diperhalusi oleh pihak mahkamah dengan mengambil kira semua aspek untuk mengangkat maruah umat Islam,” katanya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang bakal dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.
Tengku Haphiz berkata, pihaknya percaya perbuatan fitnah itu adalah manipulasi politik terhadap UMNO Terengganu. – UTUSAN