KOTA KINABALU: Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop menafikan menjadi dalang kepada Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini.
Beliau berkata, penyebaran video mengaitkan namanya dengan perhimpunan aman dianjurkan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu amat mengejutkan.
Katanya, video berdurasi 2 minit 34 saat itu dilihat sebagai cubaan menjatuhkan imejnya selaku Ahli Lembaga Pengarah UMS dan juga Presiden Pertubuhan Alumni UMS.
Susulan itu, beliau membuat laporan polis petang semalam bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap individu tidak bertanggungjawab menyebarkan video berkenaan.
“Saya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tawau. Saya memohon agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terkait dalam membuat dan menghebahkan video fitnah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Samasuddin berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu jelas satu kesalahan berkaitan fitnah serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
Sebelum ini, Suara Mahasiswa UMS menguar-uarkan penganjuran perhimpunan aman bersama rakyat Sabah di depan Menara Kinabalu pada 31 Disember ini.-UTUSAN