PUTRAJAYA: UMNO belum menerima sebarang permohonan bekas ahlinya yang digantung keahlian untuk menyertai semula parti itu setakat ini.
Perkara itu disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan, setiap permohonan akan dibawa kepada Jawatankuasa Pengurusan parti untuk pertimbangan jika ada diterima.
“Setakat ini tidak ada permohonan (bekas ahli) jadi kita pun akan bawa kepada Jawatankuasa Pengurusan (UMNO) sekiranya ada permohonan.
“Ia kemudian akan dibentangkan di (mesyuarat) Majlis Kerja Tertinggi (parti) jika ada (permohonan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2024 dan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beliau ditanya sama ada UMNO ada menerima permohonan daripada bekas ahlinya yang mahu menyertai semula parti berkenaan setelah digantung keahlian.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata sedia membuka kembali ruang terhadap bekas pimpinan UMNO yang sebelum ini berdepan dengan tindakan penggantungan.
Antaranya, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang digantung keahlian selama enam tahun sejak Januari tahun lalu.
Ia susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkuat kuasa serta-merta.
Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa PRU15. – UTUSAN