Ujian lisan SPM 2024 diteruskan esok

Ujian lisan SPM 2024 diteruskan esok

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ujian bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang akan bermula esok diteruskan seperti yang dijadualkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ujian yang bermula esok hingga 5 Disember itu dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) Op Payung.

Beliau berkata, Op Payung itu merangkumi pelan tindakan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan mengikut pekeliling berkaitan bertarikh 22 Oktober lalu.

“Pelan itu telah pun dilancarkan 28 Oktober lalu. Kita telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi apa jua situasi banjir.

“Kita juga bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan peperiksaan SPM berjalan dengan lancar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, keputusan untuk meneruskan SPM 2024 ini dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada pihak keselamatan khususnya Nadma dan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Beliau berkata, calon SPM yang akan menduduki peperiksaan esok juga dibenarkan memakai pakaian bersesuaian.

Ditanya gesaan segelintir pihak yang mahu ujian itu ditangguhkan, Fadhlina berkata, pihaknya sudah bersedia dengan pelbagai SOP dan bencana banjir bukan perkara baharu kerana ia berlaku setiap tahun.

Menurutnya, cuma kali ini, pihaknya mempertingkatkan persiapan luar jangka termasuk keselamatan dan sokongan psikososial kepada calon.

“Kita tidak pernah pinggirkan aspek keselamatan dan sokongan psikososial. Jika ada isu diluar jangka, kita bersedia untuk tambah baik,” katanya.

Sebelum ini, ada gesaan segelintir pihak termasuk calon SPM 2024 sendiri yang mahu ujian bertutur itu ditangguhkan disebabkan emosi terganggu.

Ada juga mendakwa pakaian uniform sekolah rosak akibat ditenggelami air termasuk alat tulis selain kesukaran untuk mengulangkaji pelajaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN