BESUT: Tengkujuh membawa rezeki kepada penduduk di sini apabila ia menjadi musim ‘pendaratan’ udang ‘oke’ atau udang putih segar bermula November sehingga Mac setiap tahun.
Lazimnya, spesies udang itu mudah diperoleh di pesisir pantai Besut hingga Setiu sebelum hasil tangkapan dibawa ke daratan untuk dijual segar kepada pelanggan.
Seorang peniaga, Nurul Izwani Mohamad, 35, berkata, dia mampu meraih pendapatan kira-kira RM4,000 sehari hasil menjual udang ‘oke’.
“Saya dan suami, Roszaimee Mohmad, 35, mempunyai dua bot sendiri dan lima bot cater yang ke laut setiap pagi dan pulang ke jeti kira-kira pukul 5.30 petang.
“Purata udang yang didaratkan setiap hari dianggarkan 200 kilogram dan pelbagai saiz,” katanya ketika ditemui Jeti Kampung Nail di sini.
Sementara itu, di HULU TERENGGANU, ketibaan musim tengkujuh saban tahun menjadi lubuk ‘duit poket’ bagi kanak-kanak di Kampung Belukar Bukit, di sini dengan menyauk anak ikan kelah merah di tepi sungai.
Seorang kanak-kanak, Muhammad Faqih Irsyad Mohd. Rahim, 9, berkata, aktiviti itu dilakukan dengan hanya menggunakan penapis dan anak-anak ikan yang diperoleh dijual antara 30 sen hingga 40 sen seekor.
“Saya mula cari anak ikan kelah ini sejak tadika dan memang menantikan musim tengkujuh kerana ikan mudah diperoleh. Tahun lepas dapat lebih kurang 1,000 ekor, boleh RM400.
“Biasanya saya ke sungai bersama dua hingga lima orang kawan. Kalau hari sekolah aktiviti ini dilakukan selepas pulang dari sekolah, kalau cuti lagi lama kami di sungai.
“Menggunakan penapis yang dibawa, kami berjalan di tepi sungai sambil cari anak-anak ikan kelah di celahan batu dan segera menyauk apabila menemukannya,” katanya ketika ditemui.
Bagi Muhammad Zharif Hakimi Mohd. Nordin,11, setiap kali keluar mencari anak ikan kelah, dia peroleh antara 20 hingga 150 ekor bergantung kepada rezeki.
“Anak ikan yang dapat biasanya dikumpul dahulu di rumah sebelum dijual kepada pembeli. Bolehlah jadi ‘duit poket’, beli barang-barang serta perbelanjaan sekolah sekali gus ringankan beban ibu bapa,” katanya. – UTUSAN