KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus komited memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama pembangunan negara dan pemenuhan keperluan industri serta teknologi yang pesat berkembang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET bukan sekadar membuka peluang kerjaya kepada golongan muda, tetapi menjadi pemangkin utama untuk merealisasikan aspirasi Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi.
“TVET berperanan besar dalam menyediakan tenaga kerja mahir yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) kali ke-4, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, memuji usaha Kolej Ketengah yang komited menyediakan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) serta TVET kepada pelajarnya.
“Ini kerana pentingnya institusi pendidikan seperti Kolej Ketengah menyesuaikan kurikulum dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri serta mengekalkan mutu pengajaran dan pembelajaran yang baik.
“Saya berharap kurikulum TVET sentiasa disemak dan ditambah baik bagi memastikan ia kekal relevan dengan kehendak industri dan ekonomi semasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kebolehpasaran graduan TVET negara terus meningkat dengan mencatatkan 94.5 peratus pada 2023 berbanding 93.3 peratus pada 2022.
“Ini membuktikan keberkesanan program tersebut dalam melahirkan tenaga kerja yang diperlukan oleh pasaran,” katanya.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyampaikan skrol kepada 265 graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang berjaya menamatkan pengajian di kolej berkenaan.
Beliau berkata, dengan lebih 1,345 institusi TVET beroperasi di bawah kawal selia 12 kementerian dan agensi kerajaan, usaha kolektif untuk menjadikan TVET sebagai teras pembangunan modal insan negara perlu dipertingkatkan bagi memastikan Malaysia terus kompetitif di peringkat antarabangsa.
“TVET bukan sahaja membentuk individu yang berkemahiran tinggi tetapi menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi negara. Kita perlu memastikan usaha ini terus diperkukuhkan demi masa depan Malaysia yang lebih cemerlang,” katanya. – UTUSAN