KUANTAN: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar enggan mengulas lanjut tentang perletakan jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) semalam.
Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng di Rumah Pam Penggalak Gebeng di sini berkata, kenyataan akan dikeluarkan pada masa yang sesuai.
“Saya tahu topik apa yang anda semua nak tanya, buat masa ini saya tidak mahu keluarkan apa-apa kenyataan, tunggu masa yang sesuai nanti,” katanya ringkas kepada pemberita yang menunggu sebelum memasuki kenderaan rasminya.
Difahamkan, Ahmad Samsuri dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen.
Semalam, Ahmad Samsuri. mengumumkan melepaskan jawatan Bendahari Agung PN.
Memetik laporan portal Harakahdaily, pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan Pas Pusat.
Dalam kenyataan itu Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau sudah menyerahkan surat perletakan jawatan kepada pihak pengurusan PN.
Tindakan Ahmad Samsuri itu disifatkan sebagai mengejutkan memandangkan beliau dilihat antara tonggak utama Pas yang merupakan antara parti komponen dalam PN. – UTUSAN