PETALING JAYA: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif dilantik sebagai Presiden baharu Pertubuhan Kemajuan Anak Waris Rembau (Pekawaris) pada mesyuarat agung tahunannya Sabtu lepas.
Beliau menggantikan Tan Sri Yazid Baba yang telah memegang jawatan sejak 2019 bagi pertubuhan yang ditubuhkan pada 2009 bermatlamat merapatkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Rembau.
Ia juga bertujuan untuk merangsang generasi muda waris Rembau yang terkenal dengan adat Perpatih in untuk memajukan diri mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan kerjaya.
Dalam ucapannya sebaik sahaja dilantik, Mohamed Raus,73, berkata, beliau menerima jawatan itu sebagai membalas budi dan jasa masyarakat Rembau tempat kelahirannya di zaman persekolahannya.
“Setelah tamat Tingkatan 6, saya tidak dapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Dengan bantuan masyarakat waris Rembau, saya dapat belajar ke universiti, termasuk bantuan RM20 sebulan,” katanya.
Mohamed Raus berkata beliau berharap dengan cara tersendiri dapat memajukan lagi masyarakat di Rembau.
Yazid dalam ucapannya sebelum mesyuarat berkata, Pekawaris akan menyampai cadangan kepada kerajaan Negeri Sembilan agar mewartakan kaedah dan panduan pelantikan Datuk Undang serta Datuk Lembaga sebagai langkah proaktif untuk memastikan proses pelantikan berjalan dengan lancar dan mengelak sebarang pertelingkahan.
“Inisiatif ini juga berpotensi memperkukuhkan institusi adat secara keseluruhan, seterusnya memastikan kelestarian dan keberkesanan sistem adat dalam masyarakat,” tambahnya.
Pada mesyuarat itu, Datuk Hanif Hassan and Muhammad Daud Sharif masing-masing dipilih sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden.
Enam orang dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa, termasuk bnekas Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.
Ahli-Ahli AJK yang lain terdiiri daripada Datuk Zulkipli Shamsudin, Brig-Jen (B) Kamarudin Mustapha, Dr. Mohamad Abdul Ghani, Yazleen Mohd Yazid dan Emirul Sarifudin Nor Azmi. – UTUSAN