GEORGE TOWN : Kira-kira 21 orang penduduk kini tinggal sehelai sepinggang selepas tujuh buah rumah yang mereka diami di Estet Hong Seng, Jalan Mount Erskine di sini, hampir musnah dalam satu kebakaran, hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.40 petang tadi, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mereka bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kebakaran itu.
“Sebaik sahaja pasukan bomba tiba, didapati memang kebakaran tersebut melibatkan tujuh buah unit rumah teres (kelas B) dan anggaran peratusan kebakaran pada ketika itu adalah sehingga 80 peratus,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, kebakaran berjaya dipadamkan tidak selepas itu dan bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
“Kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya sebaik sahaja operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid mengesahkan bahawa kebakaran tersebut membabitkan kira-kira 21 mangsa yang tinggal di kawasan kediaman berkenaan.
“Pada malam ini, seramai empat keluarga telah ditempatkan buat sementara waktu di PPR (Projek Perumahan Rakyat) McCallum manakala satu lagi keluarga akan ditempatkan di PPR Padang Tembak esok.
“Saya juga akan melawat keluarga yang akan berpindah ke PPR McCallum esok,” katanya.-UTUSAN