SETIU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa
seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang menghidap penyakit ‘Ocular Myasthenia Gravis’ untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.
Jurucakap TUDM berkata, pesakit, Muhammad Uwais Zainudin, 3, yang menerima rawatan di Hospital Setiu diterbangkan menggunakan helikopter EC 725 AP dari Pangkalan Udara Gong Kedak, di sini, dilaksanakan menerusi Op Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, penerbangan itu dilakukan susulan bencana banjir menyebabkan jalan perhubungan darat tidak dapat dilalui dan memerlukan pengangkutan udara.
Katanya, TUDM telah mengatur gerak sebuah helikopter EC 725 AP dari Detasmen No. 10 Skuadron, Pangkalan Udara Gong, Kedak di sini bagi tujuan tersebut
“Kanak-kanal tersebut diterbangkan dari Sekolah Menengah (SM) Sains, Setiu, kira-kira 4.48 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, kira-kira 5 pagi.
“Kanak-kanak lelaki itu kemudian dibawa ke HSNZ menggunakan ambulan bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi itu dikendalikan oleh Komander Pesawat, Mejar Mohd. Fazruzaman Faril dan dibantu oleh Kapten Mohammad Ayub Mohmad.
Jelasnya, operasi itu turut disertai Dr. Siti Norliyana Aimuni Mustafa dan pembantu perubatan, Nor Azlan Mohd. Nawi bagi memantau serta menstabilkan pesakit sepanjang penerbangan.
“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Muhammad Uwais dibawa menaiki ambulans ke HSNZ bagi rawatan selanjutnya di hospital terbabit. – UTUSAN