INDUSTRI perfileman tanah air menyaksikan kemunculan pelakon lelaki yang bukan sahaja berbakat daripada segi lakonan, malah berkebolehan untuk melakukan sendiri aksi ngeri dalam filem yang mereka jayakan.
Antara nama yang semakin menonjol dan mendapat perhatian ialah Theebaan Govindasamy atau lebih dikenali oleh orang industri sebagai Theebaan G.
Berlatar belakangkan sebagai atlet seni bela diri campuran (MMA), tentunya anak kelahiran Kuala Lumpur ini menjadi buruan penerbit atau pengarah yang mengintai pelakon aksi berbakat.
Malah, Theebaan dilihat sebagai pelakon yang pakejnya hampir lengkap kerana kemampuannya berlakon dengan baik. Bakat graduan Universiti Putra Malaysia ini sebenarnya sudah pun dihidu penerbit antarabangsa.
Dalam pertemuan kami sempena sidang media program terbaru Astro, Maskulin Whos Your Bro baru-baru ini, Theebaan berkongsi penglibatannya dalam sebuah filem aksi terbitan produksi China sekitar lima bulan lepas.
“Sebuah agensi hubungi pengurus saya dan memaklumkan mengenai projek ini. Saya terkejut, apabila pihak produksi filem di China yang menonton video uji bakat saya tertarik dan terus menawarkan saya watak antagonis dalam filem itu.
“Jadi, kira-kira lima bulan lepas, saya terbang ke China untuk menjalani penggambaran di sana.
“Ia adalah pengalaman yang amat menyeronokkan, lebih-lebih lagi apabila dapat berlakon di bawah arahan seorang pengarah yang juga pelakon terkenal dan disegani,” katanya yang buat masa ini perlu merahsiakan identiti pengarah dan filem berkenaan.
Kata Theebaan, peluang itu juga membolehkan dia mempelajari cara kerja produksi China dan menjalani sendiri pengalaman menjayakan babak aksi yang sinonim dengan filem di negara itu.
“Untuk filem itu, saya perlu menjayakan banyak babak pertarungan yang berbeza dengan aksi yang pernah saya lakukan di Malaysia sebelum itu.
“Pada masa sama, saya juga seronok apabila pengarah menggalakkan saya berdialog dalam bahasa ibunda disebabkan saya orang Malaysia. Jadi, dialog saya dalam filem itu adalah dalam bahasa Malaysia.
“Bila dikenang semula, saya masih sukar percaya saya sudah sampai dan berlakon di China. Mungkin parut di wajah, kesan jatuh basikal ketika kanak-kanak ini yang membawa tuah,” selorohnya.
MASKULIN WHO’S YOUR BRO
APABILA Theebaan dan seorang lagi pelakon iaitu Ikmal Amry diumumkan antara 12 peserta rancangan terbaharu Astro ini, ramai yang berteka teki.
Antara persoalan yang diajukan adalah apakah keperluan mereka menyertai program tersebut sedangkan masing-masing sudah pun melangkah ke dalam dunia lakonan?
Secara peribadi, Theebaan menganggap penyertaannya bukan untuk menjadi lebih terkenal, namun lebih kepada menguji kemampuan fizikal dan kecergasan dirinya sendiri.
“Ya, memang saya sudah ada platform menjadi pelakon. Tapi, saya sertai program ini bukan untuk menjadi lebih dikenali, sebaliknya hanya mahu menguji kemampuan fizikal.
“Bahkan, sudah lama saya nantikan program seperti ini,” kongsinya.
Maskulin Who’s Your Bro yang ditayangkan di saluran Astro Ria bermula 29 November menampilkan 12 peserta lelaki yang bakal mengharungi cabaran fizikal dan mental bagi merebut hadiah utama wang tunai RM30,000.
Berkongsi lanjut, Theebaan mengakui cabaran yang dilalui setakat ini menerusi program tersebut cukup sukar dan menguji bukan sahaja fizikal, malah emosi dan mental.
“Sukarnya cabaran yang perlu kami lalui sampai pada satu tahap saya pernah hampir mengalah. Ketika itu saya terfikir, kenapa perlu saya lakukan semua ini sedangkan saya sudah pun menjadi pelakon.
“Tetapi saya mengingatkan semula diri sendiri mengenai matlamat saya masuk program ini adalah untuk uji kemampuan fizikal dan mental saya. Itu yang menyemarakkan semangat dan motivasi saya,” jelasnya.