JASIN: Hasrat bertukar pemandu berakhir tragedi apabila dua penuntut wanita Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut, manakala dua lagi rakan mereka cedera selepas kereta dinaiki terbabas di Kilometer 186.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Jasin di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.24 pagi itu, mangsa, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan masing-masing berusia 19 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Sementara itu, dua lagi rakan mereka, Nur Hanis Suraya Supiyan, 20, dan Azwalidiya Azman, 21, mengalami luka dan cedera pada kaki.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian kereta jenis Perodua Myvi dipandu Nur Hanis Suraya dalam perjalanan dari Johor ke Melaka.
“Setibanya di lokasi kereta dinaiki empat penuntut UTeM dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri.
“Kedua-dua penumpang di sebelah kiri kenderaan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Nur Hanis Suraya ingin bertukar pemandu dengan salah seorang rakannya tetapi terbabas ke kiri jalan dan merempuh besi penghadang.
“Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua penumpang yang berada di sebelah kiri kenderaan mengalami kecederaan parah, manakala pemandu dan penumpang belakang sebelah kanan mengalami luka serta cedera pada kaki.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-UTUSAN