PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengesahkan kewujudan titah adendum berhubung penahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak.
Tegas beliau, kenyataan media yang disebarkan di media sosial berhubung perkara tersebut adalah palsu.
Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Titah adendum itu kembali menjadi perbualan selepas anak sulung bekas Perdana Menteri itu, Datuk Nizar Najib mendakwa beliau menerima bukti tambahan baharu daripada Istana Pahang dan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah. – UTUSAN