KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegaskan beliau tidak terlibat dalam isu kewujudan titah addendum yang didakwa wujud bagi membolehkan Datuk Seri Mohd Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau hanya hadir pada 8 Disember 2023 dan mesyuarat Lembaga Pengampunan seterusnya iaitu pada 29 Januari lalu dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.
Pada ketika itu, menurut beliau, soal memberikan titah addendum kepada Mohd Najib yang juga bekas Perdana Menteri itu tidak termasuk dalam agenda mesyuarat.
“Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu tidak memasukkan agenda permohonan pengampunan Mohd Najib dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan. Jadi untuk rekod, saya persembahkan kepada tuanku atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan beliau adalah munasabah kalau diberi pertimbangan.
“Tuanku Agong ketika itu memberi perkenan, jadi ada 11 agenda (dan) 10 dikemukakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (serta apabila sampai ke) agenda ke-11, Yang di-Pertuan Agong yang mempengerusikan (mesyuarat) minta saya kemukakan hujah tentang rayuan pengampunan Mohd Najib.
“Pada masa itu, dalam mesyuarat yang saya hadir, tidak langsung dibangkitkan isu kandungan addendum yang dimaksudkan itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang memintanya menyatakan apakah penjelasan kerajaan berkenaan kewujudan titah addendum yang berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan kali ke-61 pada 29 Januari lalu yang melibatkan permohonan pengampunan oleh Mohd Najib.
Dalam pada itu, Anwar meminta semua pihak untuk menunggu 6 Januari 2025 bagi mengetahui lanjut berkenaan isu titah addendum.
“Apakah munasabah untuk kita memberikan ulasan sebelum (keputusan mahkamah) kerana Peraturan Mesyuarat 23(1)(g) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tidak membolehkan.
“Seperti mana yang ditetapkan oleh kenyataan Peguam Negara ialah menghormati dan mempercayai institusi undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan untuk pendengaran bagi rayuan Mohd Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Addendum.
Menurut Jabatan Peguam Negara, penetapan tarikh itu adalah pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas Presiden UMNO itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum. – UTUSAN