Tindakan SPRM beku akaun Bersatu ikut akta

Tindakan SPRM beku akaun Bersatu ikut akta

sprm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pembekuan akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dibuat sewenang-wenang sebaliknya tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amlaftpuaa) 2001.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, sitaan dibuat kerana ia berkaitan dengan siasatan serta pendakwaan dan tidak boleh dilepaskan sehingga selesai perbicaraan. 

“Seksyen 50(1) adalah berkenaan dengan penyitaan harta alih dalam institusi kewangan. Dalam kes ini, mengikut seksyen tersebut, pendakwa raya (DPP) telah menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya harta alih di institusi kewangan itu disita serta mengarahkan institusi kewangan itu supaya tidak melepaskan atau melupuskan harta alih yang terbabit sehingga perintah itu diubah atau dibatalkan. 

“Justeru, tempoh perintah penyitaan yang dibangkitkan itu adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 52A dalam akta yang sama. 

“Ia menyatakan sesuatu perintah penyitaan yang dibuat di bawah akta ini hendaklah terhenti berkuat kuasa selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan itu, sekiranya orang yang terhadap perintah itu tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah akta ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Wan Shaharuddin mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan parti itu mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap SPRM berhubung pembekuan akaun.

Beliau berharap orang ramai memahami segala tindakan pihak berkuasa dalam pendakwaan kes ini adalah tertakluk kepada peruntukan akta.

“Dan bagi orang yang dituduh, segala peluang untuk membela diri serta membuktikan dirinya tidak bersalah juga ada tempatnya di sisi undang-undang,” katanya.

Bersatu mendakwa, pembekuan akaun itu merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang dan Perlembagaan memandangkan parti tersebut tidak melakukan sebarang jenayah. 

Muhyiddin berkata Bersatu sedang membincangkan perkara itu dengan pasukan peguamnya selepas SPRM mengarahkan bank untuk tidak membenarkan sebarang transaksi dijalankan.

Ini (tindakan) zalim, ia tidak adil. Jadi saya dah bincang dan minta peguam teliti seboleh mungkin untuk mengambil tindakan kepada pihak bertanggungjawan dan bank,” dakwanya.

Pada Januari 2023, SPRM membekukan dua akaun milik Bersatu susulan siasatan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM92.5 billion berkaitan pelbagai pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19.

Pada Disember 2022, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya