PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan secara rasmi pencapaian Malaysia dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) esok.
Pengumuman pencapaian tersebut akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM), Azman Adnan secara serentak dengan pemakluman pada peringkat antarabangsa.
Pencapaian ini akan memberi gambaran mengenai prestasi Malaysia dalam Matematik dan Sains di dalam kalangan murid sekolah menengah berbanding negara lain yang turut serta.
KPM berkata, pihaknya akan memastikan bahawa maklumat tersebut disebar luas kepada pelbagai pihak pada peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah dan pihak yang berkepentingan dalam pendidikan serta masyarakat umum.
“Sesi libat urus bersama-sama agensi dalam dan luar KPM serta Persidangan Meja Bulat akan diadakan bagi mendapatkan cadangan untuk menambah baik pencapaian Malaysia dalam kajian TIMSS.
“Dapatan mengenai pencapaian Malaysia dalam TIMSS 2023 akan dimuatkan dalam Buku Laporan Awal yang akan tersedia di laman sesawang rasmi KPM pada Khamis ini.
“KPM akan memperkasakan penggunaan peranti dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran seperti Pentaksiran Kompetensi Literasi (PKL) untuk menyokong pembelajaran yang lebih berkesan.
“Selain itu, KPM akan memperkukuh latihan pedagogi guru melalui penataran kerangka pentaksiran dan released items serta memperkasa Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dengan menerapkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan pengukuhan pendidikan STEM,” katanya.
Sebanyak 44 negara atau sistem pendidikan dan tiga peserta penandaarasan telah mengambil bahagian dalam kajian TIMSS 2023 Gred Lapan, yang mengukur pencapaian murid tingkatan dua dalam Matematik dan Sains pada peringkat antarabangsa.
Antara negara yang menyertai TIMSS 2023 ialah Amerika Syarikat; Jepun; Korea Selatan; Australia; Singapura; Perancis; Arab Saudi dan Malaysia.
Selain itu, negara-negara Eropah seperti Republik Czech, Portugal, dan Sweden serta negara Asia Barat seperti Iran, Bahrain dan Oman.
Sementara itu, tiga sistem pendidikan dari Emiriah Arab Bersatu (EAU) iaitu Abu Dhabi, Dubai dan Sharjah menyertai sebagai peserta penandaarasan dalam melengkapi kajian ini sebagai salah satu platform utama menilai kualiti pendidikan global.
TIMSS 2023 yang dianjurkan oleh International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA), menyediakan data penting untuk membandingkan pencapaian pendidikan dalam kalangan negara peserta dan membantu merangka strategi penambahbaikan dalam sistem pendidikan.
Malaysia telah menyertai pentaksiran TIMSS sejak 1999 yang dianjurkan setiap empat tahun sekali oleh IEA bermula dengan pusingan pertama pada tahun 1995.
Sehingga kini, Malaysia telah menyertai tujuh pusingan TIMSS dari 1999 hingga 2023, dengan penyertaan tertumpu pada murid tingkatan dua.
Penyertaan Malaysia membolehkan negara menilai pembelajaran murid dalam matematik dan sains pada peringkat antarabangsa dan merangka strategi untuk penambahbaikan pendidikan.
“Ujian TIMSS merangkumi dua domain utama iaitu domain kandungan dan domain kognitif.
“Domain kandungan matematik meliputi nombor, algebra, geometri dan pengukuran, serta data dan kebarangkalian, manakala sains merangkumi biologi, kimia, fizik, dan sains bumi.
“Domain kognitif pentaksiran matematik dan sains dalam TIMSS pula berfokus kepada mengetahui, mengaplikasi dan menaakul”.
“Selain itu, empat jenis soal selidik ditadbir dalam TIMSS iaitu soal selidik murid, guru, sekolah, dan kurikulum. Instrumen ini bertujuan memahami konteks pembelajaran, termasuk faktor sosioekonomi, strategi pengajaran, serta sokongan sekolah dalam pembelajaran Matematik dan Sains,” katanya. – UTUSAN