Tiket tren MySawasdee Butterworth-Hatyai dapat sambutan hangat - KTMB

Tiket tren MySawasdee Butterworth-Hatyai dapat sambutan hangat – KTMB

LALUAN pertama tren MySawasdee Edisi Penang menghubungkan beberapa stesen bermula dari Stesen Butterworth ke Hatyai. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Tiket tren MySawasdee Edisi Penang yang memulakan perjalanan pertamanya hari ini dilaporkan mendapat sambutan yang sangat baik apabila telah terjual sebanyak 70 peratus sejak minggu lepas.

Ketua Tugas-Tugas Khas (Hal Ehwal Antarabangsa) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Roshidi Yahaya berkata, percubaan laluan pertama dari Stesen Butterworth-Hatyai-Butterworth yang dilancarkan itu menghubungkan beberapa stesen utama termasuk Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau dan Padang Besar. 

“Perkhidmatan ini adalah percubaan laluan yang kita adakan khas untuk menilai permintaan dan sambutan penumpang-penumpang, malah, ia akan dinilai untuk dikembangkan ke beberapa lokasi tumpuan pada masa akan datang.

“Melalui inisiatif ini, kita juga menjangka akan berlaku kemasukan pelancong dari Thailand ke Malaysia yang sekaligus bakal memberi manfaat kepada pelancongan domestik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negara.

“Sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan dan tiket sehala bagi tempoh perjalanan sehingga 5 Januari depan masih boleh dibeli menerusi pelbagai platform yang disediakan antaranya aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios atau laman sesawang rasmi,” katanya ketika ditemui menyempurnakan pelepasan tren MySawasdee Edisi Penang di Stesen KTMB Butterworth di sini, hari ini.

Sementara itu, salah seorang penumpang, Sunny Ewe, 74, berkata, dia teruja kerana berpeluang merasai pengalaman menaiki keretapi terus ke Hatyai yang bukan sahaja memudahkan, malah, menjimatkan masa.

“Selalunya, saya akan memandu untuk ke sana. Memang jauh dan memenatkan. Tapi, kali ini lebih mudah kerana boleh duduk rehat sehingga sampai destinasi.

“Saya bersama rakan bercadang untuk bermalam selama dua malam, tapi kalau seronok mungkin akan lanjutkan lagi percutian kami.

“Diharapkan tren ini dapat dikekalkan bagi memudahkan penumpang khususnya di negeri ini berkunjung ke Hatyai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya