PARIT: Polis menahan tiga penuntut lelaki sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Seri Iskandar bagi membantu siasatan kes pukul rakan sekuliah sehingga mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, tangkapan terhadap tiga suspek berusia 18 hingga 20 tahun itu dijalankan susulan laporan polis dibuat bapa mangsa pada pukul 6.45 petang, Selasa lalu.
Katanya, lelaki itu mendakwa anak lelakinya yang berusia 18 tahun telah dipukul beramai-beramai di dalam bilik asrama oleh rakan sekuliah mangsa.
“Berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku pada Ahad lalu dengan mangsa mengalami kecederaan di telinga, luka dan bengkak pada bahagian kening sebelah kanan, lebam di tangan dan kaki kiri serta kesan merah pada perut dan tengkuk.
“Mangsa telah menerima rawatan pesakit luar dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati motif pergaduan antara kumpulan pelajar itu ekoran persilisihan faham dan provokasi yang berlaku di bilik asrama IPT berkenaan.
Katanya, tiga pelajar yang ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu lalu dan berakhir hari ini akan dilepaskan dengan jaminan polis.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya. – UTUSAN