MERSING: Tiga sekeluarga maut, manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 45, Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya, di sini malam tadi.
Mangsa, Md. Yusuf Mukhtar, 71, dan isterinya, Rosnah Salleh, 65, maut di lokasi kejadian, manakala anak mereka, Muhamad Izuddin, 36, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Mersing.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kemalangan melibatkan Toyota Vios dan Proton Persona itu kira-kira pukul 8.30 malam.
“Siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 36 tahun dari arah Kuantan, Pahang menuju ke Johor Bahru dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Persona dari arah Kota Tinggi.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Vios cedera parah pada bahagian perut dan patah tangan kanan dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
“Sementara itu, pemandu Proton Persona seorang lelaki berumur 36 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Mersing akibat cedera parah pada bahagian kepala. Dua penumpang, iaitu ibu dan bapanya yang berumur 65 tahun dan 71 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat cedera parah pada bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, seorang lagi penumpang, iaitu kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang juga anak kepada pemandu Proton Persona mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan masih dirawat di HSI, Johor Bahru.
Walau bagaimanapun, keadaannya dilaporkan stabil.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN