Tidak wujud kemasukan ‘pintu belakang’ ke IPTA - Utusan Malaysia

Tidak wujud kemasukan ‘pintu belakang’ ke IPTA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah bahawa wujud kemasukan pelajar ke universiti awam melalui ‘pintu belakang’ disangkal Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKMCR UA).

Pengerusi JKNCR UA Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, dakwaan itu sekali gus menafikan hak anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya, dakwaan itu juga jelas mencerminkan sifat tidak bertanggungjawab Haim Hilman yang disifatkannya sebagai hanya mahu mengelirukan masyarakat serta menimbulkan kontroversi tidak berasas.

“Pernyataan yang dibuat turut menampakkan kejahilan beliau terhadap proses kemasukan pelajar ke UA di Malaysia. Ini kerana, pengambilan pelajar ke UA dibuat secara telus, melalui sistem tapisan dan saringan ketat serta berdasarkan kriteria ditetapkan.

“Justeru, pihak JKNCR UA ingin menegaskan bahawa kaedah ‘pintu belakang’ sama sekali tidak pernah wujud dalam proses kemasukan pelajar ke mana-mana UA di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang turut disokong oleh 20 Naib Canselor dan Rektor IPTA seluruh negara.

Beliau berkata, jumlah kemasukan pelajar ke UA melalui saluran arus perdana juga tidak pernah dikurangkan, justeru, tidak ada isu pengambilan kuota pelajar miskin untuk tujuan penjanaan pendapatan. ⁠

Tegasnya, pengambilan pelajar adalah mengikut kaedah ‘over dan above’, iaitu kuota arus perdana dipenuhkan dahulu sebelum proses pengambilan dibuka semula kepada calon yang membuat rayuan.

“Jelas sekali beliau berpura-pura alpa tentang prosedur kemasukan pelajar UA yang mempunyai dua saluran berbeza. Saluran perdana dibuka dengan subsidi kerajaan manakala saluran komersial dibuka tanpa subsidi kerajaan. ⁠

“Saluran perdana mengambil sebahagian besar pelajar B40 manakala saluran komersial mengambil pelajar dalam kalangan keluarga T20 dan antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kutipan yuran yang dibuat melalui saluran komersial digunakan oleh universiti untuk membangunkan fasiliti pengajaran dan pembelajaran serta kemudahan penginapan pelajar.

Tambahnya, semua kemudahan ini diguna secara sama rata oleh semua pelajar termasuk dari saluran perdana.

“Mengaitkan saluran komersial dengan perampasan tempat B40 mengambarkan kecelaruan dalam kefahaman terhadap tujuan diwujudkan saluran komersial ini.

“Tidak mungkin YB ini yang juga merupakan mantan Naib Canselor UUM (Universiti Utara Malaysia) tidak faham akan tujuan saluran komersial dan bagaimana ia dilaksanakan sedangkan saluran terbuka atau komersial telah wujud di UUM semasa beliau menjawat jawatan tersebut,” katanya.

Tegas beliau lagi, dakwaan Haim Hilman berkaitan pengambilan pelajar antarabangsa juga merupakan fitnah yang besar kerana Malaysia sebagai han Pendidikan Tinggi telah diiktiraf banyak negara dan menjadi pilihan pelajar antarabangsa.

“Kita sama sekali tidak berkompromi dengan kriteria kemasukan, malah kita berikan peluang meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi melalui program dalaman universiti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya