DUDUK di posisi juri rancangan hiburan dengan komen pedih membidas membuatkan penyanyi, Mas Idayu sentiasa tajam diperhatikan. Kini selepas 24 tahun tanpa sebarang single terbaharu dan hanya bergantung kepada projek kolaborasi, kini pemilik nama penuh Masidayu Mesnun, 52, hadir membuktikan kemampuan dirinya sebagai penghibur menerusi lagu, Harum Mekar Di Hati.
Ratu Gelek 45 darjah sudah faham bahawa akan ada mulut-mulut yang tidak sabar menurunkan komen tentang nyanyiannya. Namun bagi Mas Idayu, itulah asam garam sebagai penyanyi. Tidak boleh hanya mahu dilambung puji, seorang penghibur sejati harus berlapang dada menerima kritikan walaupun menghiris hati.
“Saya tidak takut jika mereka mahu nilai. Memang itulah sudah tugas saya seorang penyanyi. Mereka harus faham bahawa ini bukan pertandingan. Saya hanya buat single sahaja.
“Rata-rata komen yang saya dapat, oleh kerana mereka tidak suka cara saya menjadi juri, mereka minta saya yang bertanding. Saya tidak peduli kata-kata itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Red Box Karaoke, baru-baru ini.
Pemenang Album Terbaik, Anugerah Industri Muzik 2000 ini berpendapat seorang penyanyi yang mempunyai produk, kemudian dikritik adalah lebih baik daripada penyanyi yang tidak mempunyai apa-apa hasil.
“Bagi saya, jika penyanyi tidak buat apa-apa produk untuk dikongsikan kepada orang ramai, itu lebih senyap dan sunyi.
“Tapi Alhamdulillah, saya ada keluarkan lagu. Soal penilaian orang lain, saya tidak kisah. Yang penting lagu itu keluar dan saya hanya menyanyikannya,” jelasnya.
Dangdut bukan cinta pertama tapi lebih berjaya
Walaupun lebih dikenali dengan genre dangdut dan pernah menjadi juri tetap selama empat tahun rancangan popular Indonesia, Dangdut Academy Asia. Mas Idayu rupanya memulakan kerjaya nyanyian dengan genre pop dan balada.
Walau bagaimanapun, penerimaan masyarakat terhadap muzik itu tidak sekencang ketika dia menyanyikan album genre dangdut seperti Cintaku 100% dan Bolehlah Boleh.
“Sebenarnya saya lebih biasa dan selesa nyanyikan lagu genre pop begini.
“Tapi setelah saya dilamar oleh pihak rakaman Warner Music Malaysia untuk menghasilkan album dangdut, album itu berjaya pula. Saya tiada masalah menyanyikan apa-apa genre lagu cuma dangdut lebih meletup.
“Sebelum ini saya terlibat menyanyikan lagu bukan dangdut seperti dalam filem Gelora Cinta. Saya menyanyikan runut bunyi filem itu iaitu genre rock. Saya suka cuba banyak cabang genre seperti rock, jazz dan tradisional,” katanya.
Ditanya mengapa Mas Idayu mengambil masa yang lama untuk memberikan buah tangan terbaharu, anak kelahiran Johor itu tidak menafikan dirinya sedikit cerewet memilih lagu.
“Memang ada banyak yang melamar saya untuk nyanyi lagu mereka. Tapi kebanyakannya kolaborasi atau datang daripada negara seberang.
“Bagi saya, di Malaysia kita kekurangan komposer lagu dangdut. Kalau ada pun, ia tidak macam di sana. Bukanlah saya mahu kata kita harus ikut lagu dangdut dari Indonesia. Tapi cita rasa saya ke arah mereka,” tambahnya.-UTUSAN