IPOH: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa elemen memandu secara melulu atau membahayakan tidak dijalankan dalam siasatan kes bunuh membabitkan pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17.
Menurut Inspektor Jong Pit Chao, 37, siasatan terhadap elemen di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 itu tidak sempat dijalankan susulan kertas siasatan berkenaan diambil alih pegawai penyiasat lain.
Jelas saksi pendakwaan ke-29 itu, siasatannya bagi kes tersebut hanya dalam tempoh 23 jam pada hari pertama kejadian.
“Siasatan saya pada hari tersebut seperti semua sedia maklum hanya 23 jam pada hari pertama.
“Peranan saya ketika sampai di lokasi kejadian yang pentingnya adalah saya perlu ‘secure’ bukti fizikal yang ada di lokasi kejadian. Itu adalah aspek penting selain keterangan-keterangan lisan saksi awam yang ada di lokasi.
“Belum sempat saya membuat siasatan lanjut (kewujudan) kedua-kedua elemen (memandu secara melulu atau membahayakan), saya telah ditukarkan,” katanya ketika pemeriksaan semula olehTimbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pit Chao merupakan pegawai penyiasat trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang bertugas pada 15 Disember 2023 iaitu hari kejadian perlanggaran berlaku sebelum kertas siasatan itu diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Ipoh keesokkan hari.
Terdahulu, ketika ditanya Afzainizam berhubung cadangan peguam bela dalam pemeriksaan balas sebelum ini bahawa Pit Chao tidak menjalankan siasatan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan di lokasi perlanggaran sedangkan di dalam penyataan saksi yang dibacakan sebelum ini adalah sebaliknya.
Pit Chao menjelaskan bahawa siasatan yang dijalankannya adalah menyeluruh dan merangkumi semua aspek.
“Maksud saya satu siasatan yang dijalankan atau dimulakan adalah berdasarkan kepada laporan maklumat pertama dan dari situ, pihak polis buat klasifikasi kes di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
“(Bagaimanapun) tidak bermakna siasatan saya hanya menjurus kepada Seksyen 41(1) APJ 1987. Siasatan saya perlu mengambil kira kesemua aspek dan bukan juga hanya menjurus kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Afzainizam berhubung tindakannya memadam rakaman video kamera papan pemuka yang diterima daripada seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp, Pit Chao menegaskan tiada keperluan untuk dia menyimpan rakaman berkenaan.
Jelasnya, tindakan itu dibuat selepas beliau membuat langkah susulan seperti memaklumkan kepada saksi bahawa dia bukan lagi pegawai penyiasat kes dan kes itu kini dikendalikan oleh Asisten Superintenden (ASP) Chua Sze Chuan.
“Saya telah majukan mesej itu kepada ASP Chua dan saya maklumkan kepada beliau ini adalah rakaman yang saya terima daripada saksi. Saya jugak maklumkan kepada beliau untuk menghubungi saksi.
“Setelah tindakan itu dilakukan, barulah saya padam (rakaman video). Tiada keperluan bagi saya untuk menyimpan rakaman papan pemuka kenderaan itu memandangkan ia dihantar kepada saya melalui aplikasi Whatsapp,” katanya.
Dalam pada itu, Pit Chao menjelaskan kepada mahkamah bahawa beliau tidak setuju dengan cadangan peguam bela semalam bahawa siasatan dijalankannya hanya menyebelahi sebelah pihak.
“Saya tidak setuju kerana saya menjawab soalan berdasarkan siasatan dan pengetahuan saya. Itu sahaja,” katanya.
Selain Pit Chao, Penolong Pegawai Perubatan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Hamirrol Hazlan Hamzah, 40, yang juga saksi pendakwaan ke-30 hadir memberi keterangan dalam perbicaraan masuk hari ke-17.
Selain Afzainizam, prosiding hari ini, turut disertai Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui.
Pihak peguam bela pula dibarisi M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman manakala peguam pemerhati daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM), Syaheera Rosli.
Mengikut pertuduhan, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi.
Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet bersambung pada 6 Januari depan. – UTUSAN