TENOM: Saksi kesembilan yang juga pengadu memberitahu mahkamah bahawa dia tidak menyangka Ebit Lew mempunyai watak lain di sebalik imej seorang pendakwah.
Saksi memberitahu Mahkamah Majistret hari ini, dia mengenali Ebit sebagai pendakwah dan pakar motivasi program Keluarga Sunnah sekali gus menyakini dia seorang yang baik.
“Saya langsung tidak sangka dia ada watak lain disebalik seorang pendakwah. Saya tidak sangka Ebit Lew minta untuk melayan nafsu seks. Itu sebabnya saya cakap dia memang bersalah dalam hal ini,” katanya dalam pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad.
Saksi berkata demikian semasa dirujuk soalan pemeriksaan balas pihak peguam bahawa berdasarkan bukti di mahkamah, saksi meletakkan kesalahan kepada Ebit.
Kemudian apabila dirujuk kepada soalan pemeriksaan balas yang mencadangkan saksi berhasrat melakukan hubungan terlarang dengan Ebit, saksi memberitahu mahkamah dia tidak berniat untuk melakukan perbuatan itu dengan Ebit.
Mesej yang bertanya ‘bila nak buat’ itu sebenarnya merujuk kepada ayat Ebit Lew yang selalu membayangkan dia melakukan perbuatan terlarang.
Apabila diminta menjelaskan mengapa saksi menjawab tidak kepada soalan peguam ‘melainkan kamu mempunyai masalah rumah tangga yang serius sebab itu kamu berkomunikasi (dengan Ebit)’, saksi memberitahu bahawa dia dan suami hanya ingin menyertai program Keluarga Sunnah kerana masalah dalam keluarga mereka.
Kata saksi, dia ingin merendahkan ego suami pada masa itu memandangkan dia pernah melihat kesan kepada peserta program Keluarga Sunnah.
Saksi juga memberitahu dia mengambil masa selama sebulan sebelum menyekat nombor telefon Ebit pada 11 Julai 2021 kerana cuba bertanya apa sebenarnya masalah Ebit dan apabila lelaki itu meminta maaf, saksi fikir tertuduh tidak akan mengulangi perbuatannya.
Katanya, apabila perbuatan itu berulang maka, dia memutuskan untuk sekat nombor telefon pendakwah berkenaan.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Rasyidah Murni Adzmi manakala, Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Timothy Daut. – UTUSAN