KUALA LUMPUR: “Usaha itu bukan untuk kejar gelaran.”
Demikian respons Dayang Nurfaizah mengenai pandangan sesetengah pihak yang merasakan penyanyi itu layak dianugerahkan gelaran Datuk atas usahanya memartabatkan lagu-lagu tradisional menerusi dua albumnya, Belagu dan Belagu II sebelum ini.
Kata Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, inisiatif yang dilakukan bukanlah untuk mengejar pengiktirafan, namun lebih kepada hasrat untuk memasyarakatkan lagu-lagu tradisi tanah air.
“Saya terbitkan dua album itu tanpa mengharapkan sebarang pengiktirafan kerana hasrat saya adalah untuk memperkenalkan lagu-lagu lama kepada masyarakat khususnya generasi baru.
“Tidaklah pula saya berniat untuk mendapatkan sebarang pengiktirafan. Ucapan terima kasih peminat sudah memadai bagi saya.
“Saya tak pernah mengharap, apatah lagi memikirkan tentang gelaran Datuk,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.
Dayang berkata demikian ketika ditemui selepas persembahannya sempena konsert minggu kedua Calpis Soda One In A Million minggu lepas.
Disoal jika ada pihak yang sudi menganugerahkan gelaran itu bagi menghargai jasa dan baktinya kepada dunia seni tanah air, kata Dayang, dia tidak menolak.
“Usaha saya untuk industri seni selama ini adalah atas dasar minat yang ingin saya kongsikan kepada peminat.
““Kalaupun diberikan sebarang pengiktirafan, saya anggap ia satu rezeki dan penghargaan. Alhamdulillah,” jelasnya.