PETALING JAYA: Daripada membandingkan atau meniru filem dihasilkan Hollywood, pengarah Tegkang, Josh Nawan mengajak pengkarya menggali cerita budaya tempatan untuk dibawa ke layar.
Jelas Josh, keunikan masyarakat terutamanya penduduk negeri Sarawak adalah keistimewaan sebenar yang tidak akan ditemui di mana-mana filem barat.
“Saya selalu bercakap perkara ini dengan kawan saya bahawa tidak perlulah kita bandingkan diri kita dengan Hollywood atau naskhah dari ceruk dunia yang mana pun.
“Ini kerana, ada banyak aspek yang kita kurang. Namun kelebihan kita ialah ketulenan budaya dan tradisi yang ada dalam masyarakat.
“Sebagai anak Sarawak, negeri kami ada banyak suku kaum. Mahu ceritakan tentang masyarakat Kelabit sahajapun masih banyak yang belum diteroka.
“Saya bangga dengan budaya yang saya miliki dan mahu terus menghasilkan naskhah tentang negeri ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Senada dengan Josh ialah penerbit eksekutif, Jason Chong, yang turut berpendapat beberapa pengkarya mungkin tidak melihat aspek budaya sebagai pelaris sesebuah naskhah.
“Sebagai pengkarya, antara persoalan yang sering bermain dalam fikiran ialah bagaimana untuk kita keluarkan budaya dan bawa masuk ke dalam filem.
“Kita ada masyarakat yang tinggal di utara, pantai timur sehinggalah orang ‘nogori’, semuanya ada pelbagai budaya. Cabarannya ialah untuk kita bawa ke depan dan paparkan.
“Contohnya Sarawak yang saya anggap memiliki banyak cerita menarik yang boleh diteroka. Semoga ini menjadi permulaan kepada banyak lagi cerita budaya yang akan kami bawakan,” jelasnya.
Diterbitkan oleh syarikat MyContent Distribution Sdn Bhd, filem Tegkang yang menceritakan tentang keunikan masyarakat Kelabit di Bario, Sarawak masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Filem berkenaan menampilkan Syafie Naswip dan Michelle Lungan sebagai pelakon utama, manakala pelakon tambahan dijayakan oleh kaum Kelabit dari Bario sendiri. -UTUSAN