Tidak ambil tahu isu rumah tangga Jay Iswazir, minta masyarakat beri ruang - Utusan Malaysia

Tidak ambil tahu isu rumah tangga Jay Iswazir, minta masyarakat beri ruang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun akrab seperti adik-beradik, pelakon, Azhan Rani, enggan masuk campur urusan rumah tangga, Jay Iswazir yang didakwa memukul isteri sebelum bercerai.

Bagaimanapun, Azhan atau Azhan Abdul Rani, 48, ada menghubungi sahabatnya itu untuk bertanya khabar dan memberi kata semangat melalui ujian ini.

“Apa sebenarnya berlaku dalam rumah tangganya, saya tidak pernah bertanya. Saya juga tidak mahu ambil tahu kerana ia hal peribadi.

“Cuma saya ada menghubunginya dan berbual. Sebagai seorang sahabat, saya beri kata semangat kepadanya. Saya percaya dia manusia disayang Allah dan insyaAllah dia tahu bagaimana mahu kendalikan situasi ini.

“Pada saya Jay seorang yang ceria, dia akan nampak periang walaupun dilanda musibah,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media filem Riversi, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Azhan turut meminta masyarakat agar memberinya ruang untuknya menyelesaikan masalah ini dan memberi jaminan bahawa pelakon itu akan bersuara jika sudah bersedia.

“Sebagai seorang rakan saya harap masyarakat boleh beri dia ruang buat seketika untuknya bertenang. Bila diasak, rimas juga mahu angkat telpon. Bila dia sudah bersedia, dia akan jawab.

“Saya juga pesan kepadanya jangan jawab soalan dalam keadaan marah atau tertekan. Bila sudah bersedia, dia akan tampil dan berhadapan dengan semua ini. Jay orang yang begitu,” jelasnya.

Terdahulu, kecoh apabila bekas isteri kepada pelakon, Jay Iswazir iaitu Azzahra Ahmad mendedahkan pelakon itu melakukan keganasan rumah tangga dengan memukul dan memaksanya menggugurkan kandungan.

Perkara itu membuatkan Azzahra memutuskan untuk berpisah pada 28 Oktober lalu selepas berkahwin selama dua tahun.

Sebelum ini, Jay Iswazir dan isteri mendirikan rumah tangga pada Mac 2022. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya