Tiada sistem pengairan, sawah padi jadi tanah terbiar

Tiada sistem pengairan, sawah padi jadi tanah terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA MARUDU: Ketiadaan sistem pengairan dan akses jalan yang baik menyebabkan penduduk Kampung Mosolog, Tandek terpaksa melupakan hasrat meneruskan tanaman padi sawah yang diusahakan sebelum ini.

Penduduk Kampung Mosolog, Deny Moni, 59, berkata, tanaman padi memang memberi pulangan yang lumayan suatu ketika dahulu namun, sejak kos mengusahakan tanaman padi semakin meningkat dan masalah sistem pengairan yang dihadapi maka, dia memutuskan untuk berhenti mengusahakan tanaman padi.

DENY MONI

Dahulu setiap kali pengeluaran, dia boleh memperoleh ribuan ringgit namun, apabila harga mesin membajak naik maka, sukar untuknya menampaung peningkatan kos.

Maka, sawah padi yang diusahakan menjadi tanah terbiar sehingga sekarang. Jadi, apabila Koperasi Tanjung Keramat menyatakan hasrat menyewa tanah terbiar untuk mengusahakan tanaman jagung bijian, dia terus bersetuju.

“Daripada tanah itu terbiar begitu sahaja tanpa diusahakan lebih baik saya sewakan untuk projek tanaman jagung bijian.

“Mengikut perjanjian, mereka akan membayar RM100 bagi setiap seekar tanah jadi, memandangkan saya ada lapan ekar tanah jadi, setiap bulan saya akan memperoleh RM800 selama tempoh lima tahun,” katanya ketika ditemui semasa majlis menandatangani sewaan tanah di Dewan Terbuka Tandek, baru-baru ini.

Deny berkata, sistem pengairan ke kawasan sawah padi mereka sukar dinaik taraf kerana jalan raya ke kampung mereka masih sukar diakses.

Ibu kepada lima orang anak berkata, sehingga sekarang jalan ke kampung mereka belum diturap dan masih lagi jalan tanah merah berbatu sungai.

Jadi, setiap kali musim hujan memang mencabar untuk masuk ke kampung mereka terutama apabila menggunakan kenderaan kecil.

Turut berdepan situasi sama adalah Fazeri Salangkan, 38, yang terpaksa berhenti menanam padi kerana masalah sistem pengairan ke kawasan sawah mereka. Kalau tiada air memang sukar untuk meneruskan tanaman padi.

FAZERI SALANGKAN

Katanya, sudah hampir lima tahun dia berhenti menanam padi dan apabila dimaklumkan ada koperasi ingin menyewa tanah bagi tanaman jagung bijian, dia terus bersetuju. Sekurang-kurangnya tanah terbiar yang tidak diusahakan itu dapat memberi pendapatan tambahan kepadanya.

Fazeri berkata, dia menyewakan tanah seluas tiga ekar kepada Koperasi Tanjung Keramat untuk projek tanaman jagung bijian secara komersial di Kampung Mosolog, Tandek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya