PUTRAJAYA: Tiada mana-mana pihak tampil menyatakan bahawa Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah itu palsu dan tidak wujud.
Menegaskan perkara itu, anak sulung kepada bekas Perdana Menteri itu, Datuk Muhammad Nizar berkata, jika Titah Adendum itu palsu, sudah pasti banyak laporan polis dibuat ke atas dirinya.
Pada masa sama, katanya, sehingga hari ini pun pihak kerajaan tidak boleh menjawab sama ada Titah Adendum itu wujud atau tidak.
Dalam hal ini, beliau mencabar mana-mana pihak untuk tampil menafikan atau membuat laporan polis sekiranya dakwaan kewujudan Titah Adendum itu benar wujud.
“Ya atau tidak (Titah Adendum wujud) sampai sekarang tak boleh jawab. Kalau tak betul, nafikanlah, buat laporan polis.
“Ini bukan satu perkara yang boleh disorok di bawah karpet dan buat tidak tahu sahaja. Hampir setahun buat tidak tahu sahaja. Tiada siapa pun nafi kewujudan Titah Adendum itu, malah, Istana pun tak nafikan.
“Logik akal fikiran mengatakan dokumen itu ada. Persoalannya mengapa tak laksanakan. Tak perlu takut dengan beliau (Najib). Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih,” katanya ketika berucap dalam Program Demi Najib 2.0 di Pusat Konvensyen Melawati, malam tadi.
Muhammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya sekali lagi menegaskan bahawa Titah Adendum itu sememangnya wujud.
Jelasnya, kewujudan dokumen tersebut bukan cerita karut atau dongeng kerana ia boleh memberi implikasi besar terhadap dirinya sendiri.
Muhammad Nizar mendakwa, Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengirimkan satu surat kepada Peguam Negara sebelum ini dengan menitahkan supaya Najib menjalani tahanan di rumah.
“Ia memang wujud kerana selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari, Yang di-Pertuan Agong ketika itu telah mengirim satu surat kepada Peguam Negara ketika itu.
“Kandungan surat tersebut telah pun tular di mana titah yang begitu jelas kepada Peguam Negara bahawasanya Najib layak dapat perintah tahanan di rumah selain menerima pengurangan hukuman dan denda.
“Yang kita tuntut pada kerajaan sekarang adalah keikhlasan dan ketelusan. Saya yakin Najib patut dapat perintah kelegaan tersebut (tahanan rumah).
“Malah, dalam afidavit saya sebelum ini, Sultan Pahang dah mengesahkan telah mengirimkan surat itu kepada Peguam Negara di satu majlis Kompleks Kraftangan Tuanku Azizah, saya telah dititah mengadap dan tuanku sendiri memberitahu bahawa baginda perkenan salinan Titah Adendum tersebut.
“Saya dah menulis bagi pihak keluarga menjunjung kasih memohon izin salinan Titah Adendum itu dan diberikan dua minggu kemudian dalam bulan Ogos lalu di istana oleh Datuk Seri Pengelola Bijaya di Hotel Hyatt Kuantan dan salinan Titah Adendum tersebut dan memang jelas surat itu arahan titah untuk memberi tahanan rumah,” katanya.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.
Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dalam permohonan yang difailkan pada April lalu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas ahli Parlimen Pekan itu apabila memutuskan empat afidavit menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima pakai kerana ia khabar angin semata-mata.
Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum.
Bagaimanapun, semalam, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa semua permohonan pengampunan termasuk kes membabitkan Najib perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Jelas jabatan itu, semua urusan berkaitan perlu dibuat mengikut tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain. – UTUSAN