PORT DICKSON: Tiada sebarang petunjuk baharu ditemukan dalam operasi mencari seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum, di Gerik, Perak pada 30 November lepas.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, misi pencarian Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi daripada pasukan 22 Komando, Kem Iskandar Mersing, Johor yang masuk hari ke-12, masih diteruskan melalui kumpulan carilamat terdiri daripada lapan kumpulan daripada TDM.
“Tiada penglibatan dari agensi lain kerana operasi ini melibatkan operasi carilamat dalam kawasan hutan. Keseluruhan anggota yang terlibat ialah enam pegawai dan 126 lain-lain pangkat dari 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen ke-2 Renjer Diraja (RRD) dan 22 komando masih meneruskan operasi carilamat di sekitar tempat kejadian.
“Pihak ATM akan terus melaksanakan operasi carilamat dan buat masa ini belum berbincang untuk kata putus bagi menghentikan operasi carilamat walaupun ia mempunyai tempoh masa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malbatt 850-11 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, misi pencarian tersebut akan diteruskan sehingga diputuskan oleh komander operasi untuk dihentikan.
“Kita akan teruskan usaha ini. (Sebagai contoh) pada misi operasi mencari anggota di sempadan Sarawak dan Brunei ia mengambil masa 19 hari, dalam kes ini baharu hari ke-12
“Kebiasaannya misi menyelamat ini 14 hari, kita akan teruskan operasi ini sehingga komander memutuskan untuk hentikan operasi, sekiranya ada petunjuk baharu, operasi diteruskan,” katanya.
Pada 3 Disember lepas, TDM dalam satu kenyataan mengesahkan kehilangan dua anggotanya semasa melakukan rondaan dalam Operasi Kota Echo/Foxtrot Siri 6/2024, kira-kira pukul 8 pagi.
Tujuh anggota terlibat ditemukan selamat kira-kira 12.30 tengah hari pada hari kejadian namun Ahmad Zulhmi serta Lans Koperal Mohd. Afandi Jahwin daripada pasukan 21 Komando Kem Sungai Udang, Melaka, hilang.
Bagaimanapun, mayat Mohd. Afandi yang berasal dari Matu, Sarawak dijumpai di tepi sungai kira-kira tiga kilometer dari kedudukan Markas Trup pada 1 Disember lalu.-UTUSAN