Tiada perpecahan dalam Bersatu Tanjong Karang

Tiada perpecahan dalam Bersatu Tanjong Karang

Bersatu Tanjong Karang
NURUL Syazwani Noh bersama kepimpinan dan ahli parti pada Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tiada perpecahan dalam Parti Bersatu Bahagian Tanjong Karang selepas sesi pemilihan dijalankan pada 7 Disember lalu.

Ketuanya, Nurul Syazwani Noh berkata, kepimpinan dan akar umbi parti itu kukuh biarpun berlaku sesi pemilihan di peringkat bahagian, namun tiada pertandingan berlaku ketika beliau menghantar borang pencalonan pada bagi jawatan itu sebelum ini.

“Justeru, kita mendapati ura-ura perpecahan itu tidak timbul kerana parti masih bergerak sebagai pasukan yang kuat.

“Selain mengekalkan kepimpinan yang lama, barisan jawatankuasa turut terdiri daripada muka baharu yang akan berganding bahu mengukuhkan Bersatu Tanjong Karang,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Tahunan Bersatu bahagian itu, hari ini.

Nurul Syazwani yang menjadi Ketua Penaja Bersatu Tanjong Karang sejak Mei lalu menang tanpa bertanding dan dilantik mengetuai bahagian itu berkuat kuasa hari ini.

Jawatankuasa bahagian itu sebelum ini digantung susulan bekas ketuanya yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, timbul desas-desus berlakunya perpecahan dalam parti terutama melibatkan ahlinya di peringkat akar umbi.

Jelas Nurul Syazwani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, gandingan muka lama dan baharu menjadi titik kekuatan bagi memperkukuhkan parti itu dalam menghadapi pilihan raya sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.

“Sudah tentu kita mahu mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang meskipun penyandangnya menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Namun, kita akan memastikan kerusi itu terus kekal menjadi milik Bersatu dan turut mempertahankan DUN Permatang,” ujarnya.

Tambah Ketua Penerangan Srikandi Bersatu itu lagi, beliau turut menyasarkan untuk menambah lebih banyak cawangan parti berbanding 21 sedia ada ketika ini.

“Kita setakat ini mempunyai lebih 2,000 ahli dan yakin jumlah itu akan bertambah berdasarkan sokongan positif rakyat.

“Saya bertekad untuk terus menyantuni pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan muda yang perlu diberi perhatian khusus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya