PUTRAJAYA: Buat julung kalinya dalam sejarah, segala urusan rekod kesihatan bakal jemaah haji bagi musim depan kini berbentuk digital sepenuhnya tanpa perlu buku fizikal.
Perubahan tersebut antara proses transformasi Lembaga Tabung Haji (TH) menjimatkan masa jemaah tidak lagi kena hadir bagi mengambil buku itu di pejabat agensi berkenaan.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman, langkah itu meringankan beban tenaga jemaah terutamanya warga emas.
“Rekod kesihatan jemaah itu juga akan mudah diakses sepanjang di Tanah Suci malahan proses menjawab tawaran haji kali ini lebih mudah kerana atas talian sahaja,” jelasnya.
Semalam, tular hantaran video terbitan TH berdurasi tiga minit mengenai proses untuk menjawab tawaran yang antaranya tiada lagi Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji (BRRJH).
Pemansuhan BRRJH setebal 70 halaman ini juga menyaksikan jemaah bagi musim lalu sebagai kumpulan terakhir merasai buku poket kecil bersaiz A6 itu sepanjang ibadah haji.
Mengulas lanjut, Syed Hamadah berkata, bakal jemaah boleh membuat semakan melalui aplikasi THijari sebelum memuat turun surat tawaran menerusi laman sesawang tersebut.
“Mereka boleh buat pemeriksaan di fasiliti kesihatan termasuk swasta yang ada pegawai perubatan berdaftar TH dengan membawa surat berkenaan serta Mykad,” tambah beliau.-UTUSAN