KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai terlibat isu integriti termasuk salah laku dan kesalahan jenayah sehingga mencemarkan nama baik pasukan keramat itu.
Terbaharu, tiga anggota polis berusia 26 hingga 32 tahun yang bertugas di Kelantan diambil tindakan tukar jabatan selepas dikesan mengunjungi pusat hiburan di Golok Thailand.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kepemimpinan tertinggi PDRM tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana warga polis yang melakukan kesalahan melanggar peruntukan ditetapkan.
Katanya, ini termasuk kes terbaharu membabitkan tiga anggota di Kelantan yang dikesan berhibur di pusat hiburan di Golok, Thailand.
“Seorang anggota telah ditukar jabatan manakala dua lagi dalam tindakan.
“Kita berulang kali memberikan amaran dan peringatan terhadap anggota dan pegawai agar tidak melakukan perbuatan yang boleh mencemar nama baik polis.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka selain memastikan anggota dan pegawai mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya sentiasa telus kepada masyarakat tentang salah laku membabitkan anggota dan pegawai polis.
“Saya tegaskan kita (PDRM) tidak akan berselindung terhadap mereka (anggota dan pegawai) yang terlibat dengan apa-apa isu atau jenayah,” katanya.
Beliau mengulas peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kepimpinan polis agar tidak hanya bergantung kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan tunggak utama dalam pertahanan negara.
Anwar dilapor berkata, walaupun IPCC diwujudkan namun tidak boleh menafikan hakikat bahawa PDRM sebagai tunggak utama pertahanan negara.
“Bagi memungkinkan ekonomi meningkat, pelaburan masuk dan orang ramai berasa tenang serta selamat kerana kecekapan PDRM keseluruhannya.
“Oleh itu, kita perlu mengambil pendirian yang lebih tegas dan negara menuntut perubahan.
“Kita mempunyai keupayaan untuk maju sekiranya tidak terjebak dengan politik picisan, pergolakan kaum dan agama yang tidak membawa keuntungan,” katanya.- UTUSAN