PUTRAJAYA: Pasukan pendakwaan menarik rayuan kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana tiada keterangan menunjukkan beliau menggunakan jawatan dalam penganugerahan projek.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim berkata, pihaknya mendapati tiada keterangan menunjukkan bahawa Ahmad Zahid menggunakan jawatannya secara langsung untuk menganugerahkan kontrak-kontrak iaitu yang menjadi subjek dalam perbicaraan.
Ujar beliau, keterangan menunjukkan kontrak-kontrak tersebut telah dianugerahkan sebelum Ahmad Zahid yang menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.
“Situasi itu menidakkan kewujudan peluang dan atau ruang untuk Ahmad Zahid menyalahgunakan kuasanya,” katanya di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid kekal dengan keputusan lepas dan bebas di atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Perkara itu diputuskan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan di sini semalam yang dipengerusikan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara menarik balik semua rayuan terhadap kes ini.
Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid, daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, dalam isu lain, Yusaini berkata, lejer yang direkodkan oleh saksi pendakwaan ke-17 turut menunjukkan terdapat pelbagai transaksi kewangan melibatkan nama-nama ramai individu, namun tiada rekod menunjukkan transaksi-transaksi atau individu-individu ini telah disiasat sepanjang kes ini berlangsung.
“Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan menunjukkan terdapat kelompangan serius dalam rantaian keterangan kes ini.
“Setelah mempertimbangkan representasi-representasi dan mengambilkira dapatan-dapatan fakta Hakim Bicara (Mahkamah Tinggi Shah Alam) Jabatan Peguam Negara mendapati terdapat asas undang-undang dan fakta yang kukuh untuk mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (lepas dan bebas).
“Sehubungan itu, Peguam Negara menarik balik kesemua rayuan yang difailkan di sini,” kata Yusaini. – UTUSAN