IPOH: Pakar Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa tiada sebarang kesan tayar pada badan dan pakaian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.
Saksi pendakwaan ke-24, Dr Ain Nurfarahana Hamdan, 35, berkata, sekiranya terdapat kesan tayar, maklumat tersebut akan diperincikan dalam laporan bedah siasat yang disediakannya.
“Kalau ada, saya akan menulisnya di dalam laporan bedah siasat,” katanya ketika memberi keterangan dalam sesi pemeriksaan balas oleh peguam bela, M. Athimulan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Dalam pemeriksaan balas seterusnya, saksi memberitahu mahkamah bahawa dia juga tidak diberitahu oleh pegawai penyiasat yang badan mangsa digilis dua tayar kereta.
Dalam pada itu, Dr Ain Nurfarahana tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa kematian Muhammad Zaharif adalah disebabkan oleh kemalangan jalan raya.
Jelasnya, penentuan cara kematian perlu siasatan secara menyeluruh dan tidak bergantung hanya kepada hasil bedah siasat.
Athimulan: Adakah awak bersetuju bahawa kematian ini adalah disebabkan kemalangan jalan raya?
Dr Ain Nurfarahana: Tidak
Athimulan: Kenapa? Kematian ini kerana apa?
Dr Ain Nurfarahana: ‘Road trafik crash’ yang saya rujuk ialah pelanggaran di jalan raya, tidak sama dengan maksud kemalangan jalan raya.
Athimulan: Kematian kerana apa? Kecederaan akibat apa? Akibat kemalangan?
Dr Ain Nurfarahana: Akibat pelanggaran di jalan raya.
Athimulan: Ini kemalangan kan?
Dr Ain Nurfarahana: Pelanggaran jalan raya tidak semestinya kemalangan.
Athimulan: Adakah awak cakap ini pembunuhan?
Dr Ain Nurfarahana: Saya tidak dapat pastikan daripada hasil bedah siasat.
Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, saksi memberitahu mahkamah bahawa dia boleh mencadangkan terdapatnya kesan digilis sekiranya terdapat kesan bercorak seperti bunga tayar pada tubuh si mati.
Bagaimanapun katanya, dalam kes ini, hasil bedah siasat tidak menunjukkan kesan yang berpadanan dengan akibat digilis.
Afzainizam: Dalam kes ini, jika tayar kenderaan telah menggilis antara bahagian dada dan perut mangsa, pada pandangan doktor adakah akan terdapat sebarang kesan pada permukaan luaran dan juga bahagian dalaman tubuh badan mangsa akibat digilis tayar?
Dr Ain Nurfarahana: Saya boleh mencadangkan terdapatnya kesan digilis sekiranya terdapat kesan bercorak seperti bunga tayar pada tubuh si mati. Tapi di dalam kes ini, hasil bedah siasat tidak menunjukkan kesan yang berpadanan dengan akibat digilis.
Afzainizam: Boleh jelaskan kenapa tiada kesan berpadanan akibat digilis pada tubuh mangsa?
Dr Ain Nurfarahana: Boleh jadi tiada kesan sekiranya digilis pada bahagian yang terlindung seperti topi keledar atau baju tebal atau apa-apa seumpamanya.
Afzainizam: Adakah terdapat faktor-faktor lain yang menunjukkan seseorang itu telah digilis selain kesan bunga tayar?
Dr Ain Nurfarahana: Ada kesan kecederaan tapi ia bukan spesifik dan tidak kritikal untuk katakan sebab digilis.
Afzainizam: Boleh jelaskan?
Dr Ain Nurfarahana: Kesan kecederaan yang saya cakap tidak kritikal itu adalah seperti tulang patah remuk dan organ hancur.
Afzainizam: Dalam kes mangsa adakah terdapat apa-apa tulang patah remuk atau hancur dan boleh mencadangkan ia akibat digilis?
Dr Ain Nurfarhana: Tiada
Afzainizam: Adakah terdapat kemungkinan mangsa digilis tapi tidak semestinya terdapat kesan bunga tayar pada tubuh mangsa?
Dr Ain Nurfarhana: Boleh jadi sekiranya digilis pada bahagian yang terlindung.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet disambung esok. – UTUSAN