Tiada keperluan untuk kerajaan beri peruntukan

Tiada keperluan untuk kerajaan beri peruntukan

SYED SADDIQ Syed Abdul Rahman hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendengar Keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman berhubung tindakan kerajaan yang didakwa memberhentikan peruntukan dana RM730,300. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang peruntukan perundangan atau Perlembagaan yang mewajibkan Perdana Menteri dan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan ke mana-mana kawasan Parlimen sama ada yang menyokong kerajaan atau sebaliknya.

Sehubungan itu, ketiadaan peruntukan undang-undang itu, tindakan kerajaan dan Perdana Menteri memberikan peruntukan atau menarik balik tidak boleh dikatakan sebagai tidak wajar, tidak sah mahupun tidak berperlembagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berkata demikian ketika membaca penghakiman ringkasnya berhubung permohonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar tindakan kerajaan menghentikan penyaluran peruntukan ke kawasan berkenaan.

Pada April lalu, Syed Saddiq dan tiga pengundi di kawasan Parlimen Muar iaitu Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri selaku pemohon, memfailkan permohonan itu dengan menamakan Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan kebenaran itu, Syed Saddiq mendakwa kerajaan memberhentikan peruntukan dana RM730,300 bagi tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat di kawasan Parlimen Muar yang sebelum ini diluluskan melalui sistem ‘myKHAS’.

Selain itu, Mahkamah mendapati permohonan untuk kebenaran semakan itu dibuat melebih tempoh masa yang ditetapkan dan tiada sebarang permohonan untuk memfailkan permohonan terbabit di luar tempoh masa dibuat oleh Syed Saddiq.

“Berdasarkan Aturan 53(3)(6) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, permohonan semakan kehakiman hendaklah dibuat serta merta atau dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan yang dipertikaikan dibuat. Dalam kes ini, Peguam Kanan Persekutuan menghujahkan bahawa, dakwaan peruntukan untuk Muar terhenti pada pada 19 September 2023.

“Pembatalan peruntukan itu diketahui oleh pemohon melalui sistem pemberitahuan MyKhas, oleh itu permohonan kebenaran semakan kehakiman hendaklah dibuat dalam masa tiga bula daripada tarikh berkenaan iaitu selewat-lewatnya pada 10 Disember 2023. Namun, permohonan ini difailkan pada 25 April lalu,” kata Hakim Wan Ahmad Farid yang kemudian memaklumkan mahkamah menolak permohonan tanpa membuat sebarang perintah berhubung kos.

Disebabkan, pemohon turut tidak memfailkan sebarang permohonan untuk pemfailan di luar tempoh masa yang ditetapkan, Hakim Wan Ahmad Farid berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes itu tidak kira meritnya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq ketika ditemui akan merayu keputusan itu dan meluahkan kecewa dengan penghakiman tersebut.

“Sebagai Ahli Parlimen saya mencari jalan demi kebajikan kawasan saya terutamanya yang kurang bernasib baik di Muar. Semoga nasib lebih berpihak kepada saya di Mahkamah Rayuan,” katanya semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya