MELAKA: Tiada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan digugurkan atau ada pelantikan Exco baharu yang akan dibuat Januari depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Beliau turut menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa Exco Kanan yang disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang memegang portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri ditukar kepada ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang memegang portfolio Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri.
Ketua Menteri menegaskan, barisan 10 Exco yang dilantik akan terus menggalas tugas tetapi akan berlaku perubahan portfolio bagi meringankan beban dan tanggungjawab mereka yang memegang lebih daripada lima portfolio.
“Saya ingin beritahu prestasi Exco-Exco berada pada prestasi yang cukup baik dan saya cukup berpuas hati dengan semua sumbangan yang menyokong kepimpinan saya.
“Tiada sebab saya hendak buang mereka, cuma mana Exco beban yang berat saya nak ringankan sikit sebab ada Exco yang tak berat tapi buat kerja berat saya hendak selaraskan semua ini.
“Portfolio yang banyak saya hendak pendekkan dan saya gabungkan dengan Exco yang lain. Tiada Exco baharu akan dilantik dan itu tidak akan ada kerana kapal tengah berlayar elok,” ujarnya kepada pemberita selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal
Ketiga DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri Ayer Keroh di sini, hari ini
Beliau ditanya berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini yang menyebut Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka dilapor bakal mengalami rombakan pada Januari akan datang.
Menurut laporan itu, Ab. Rauf tidak berpuas hati dengan prestasi Exco tertentu selain mahu menaikkan pangkat wakil rakyat yang lain. Susulan daripadanya, portfolio Exco tertentu juga akan mengalami perubahan.
Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, beliau melihat kaedah pentadbirannya setakat ini berjaya menyentuh hati rakyat.
“Ada portfolio Exco yang tugas yang amat berat sehingga memegang antara empat hingga lima portfolio jadi saya ingin ringankan kerana matlamat kita sama.
“Kalau ada mengadu domba kononnya ada keretakan dalam Exco mereka ini sebenarnya tidak suka melihat kita stabil,” ujarnya. – UTUSAN